Friday 14 October 2016

Kenali Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V Raja Berjiwa Rakyat


Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dikenali seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri Kelantan. Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam dan di luar pengetahuan media untuk menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) gemar membaca serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak. Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya yang dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersetuju mengisytiharkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu menggantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Sumber : Awani News

No comments:

Post a Comment