Wednesday 21 September 2016

Bagaimana Untuk Mengelakkan Anak Anda Menjadi 'Si Kedekut'?



Sikap kedekut juga tidak lari daripada si kecil terutama pada barang atau permainan kesayangan dan kegemarannya. Jadi bagaimanakah untuk anda selaku ibu bapa untuk mendidik mereka untuk berkongsi sejak dari awal lagi? Anak-anak seawal umur tiga hingga empat tahun biasanya didalam fasa untuk belajar berkongsi dan disini terdapat beberapa tips untuk dikongsikan kepada anda :-

 1. Berkongsi itu menyeronokkan

Didik untuk bekerjasama melalui permainan. Misalnya membina blok secara berpasukan dan yang paling tinggi akan menang. Tentunya si manja akan bermain dan saling memberi dan menerima serta bekerjasama dengan mudah. Masukkan juga elemen giliran untuk mengambil blok dalam peraturan permainan. 

2. Biar dia berkongsi dengan anda

Biarkan dia berkongsi sesuatu dengan anda. Misalnya berkongsi tugas untuk menyiram pokok, membiarkan dia membantu anda mengemas barang-barang setelah pulang dari membeli belah bersama. Selain itu, anda boleh memberikan sesuatu untuk dia kongsi bersama kawannya seperti snek atau pelekat kartun yang boleh dikongsi dengan rakan-rakannya di pusat asuhan.

3. Jangan denda

Jangan menggunakan kaedah denda dalam menyelesaikan masalah ini. Denda dan mengatakan dia kedekut tidak akan mencetuskan sifat memberi dalam diri si manja. Malah ia boleh menyebabkan tekanan emosi padanya. Anda perlu faham pada usia ini si manja sedang mempelajari konsep berkongsi. Berikan dia masa untuk memahami dan cuba berkongsi dengan orang sekeliling seiring pertambahan usia dan  kematangan dirinya.

4. Nasihat

Cara paling mudah ialah dengan memberikan nasihat kepadanya dan memberitahu kelakuan yang tamak dan enggan berkongsi itu tidak manis. Selalu bercerita tentang orang yang tamak selalu rugi dan keburukan jika tidak berkongsi barang dengan orang lain. Allah SWT juga suka kepada orang yang pemurah dan suka berkongsi dengan orang lain. Dengan cara ini dia akan cuba mengubah dirinya dengan sendiri tanpa rasa seksa dan terpaksa.

5. Ajar dia memahami

Kanak-kanak dan permainan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kerap kali masalah enggan berkongsi mainan menjadi punca kepada pergaduhan. Justeru, ajar si manja untuk tidak berebut dan mengambil giliran. Didiknya untuk bertolak ansur dan memahami perasaan orang di sekelilingnya. Misalnya katakan “Amir suka sangat dengan robot adik. Bagilah dia main sekejap. Nanti dia nak balik, dia akan pulangkan semula robot Adik ok. Bolehlah adik main puas-puas dengan robot tu nanti.” Berikan peluang untuk si manja memberikan pendapat dan meluahkan perasaannya mengenai hal tersebut.

6. Hormati barangan miliknya

Mulai sekarang, ibu dan ayah perlu hormati barangan milik anak dan jangan ambil mudah. Mungkin kerana anda sering menyimpan barangnya di tempat salah, menyebabkan ia rosak atau memberikannya kepada orang lain tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Hal ini menyebabkan si manja rasa terancam dan bertindak untuk tidak berkongsi dengan orang lain.

7. Jadi contoh

Jadikan diri anda berdua sebagai contoh yang baik kepada si manja berkaitan hal ini. Praktis untuk berkongsi apa sahaja dengan dia atau ahli keluarga yang lain. Gunakan istilah kongsi dalam mendefinisikan perbuatan tersebut dan biar dia menyaksikannya. Biarkan dia melihat anda sedang bertolak ansur dengan pasangan anda, berkompromi tentang sesuatu hal dan berkongsi sesuatu.

Sumber : majalahpama

No comments:

Post a Comment